KUCHING, 19 Okt: Kemampuan membaca al-Quran dengan baik memberi kelebihan kepada generasi muda untuk berjaya dalam kehidupan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dunia sekarang memerlukan setiap pelajar bukan sahaja bijak akademik tetapi mampu menguasai kemahiran lain.
Menurutnya, kerajaan menerusi agensi tertentu sedang berusaha memastikan pelajar sentiasa dibekalkan dengan kemahiran tambahan.
“Ia (kemahiran tambahan) menentukan hala tuju hidup mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah DUN Pantai Damai di SK Gersik hari ini.
Seramai 20 peserta dari 11 sekolah rendah di kawasan DUN Pantai Damai menyertai majlis tersebut.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekarang menumpukan kepada ekonomi digital.
“Selain penguasaan dalam bidang al-Quran, kita juga perlu pandai dalam sains dan matematik agar selari dengan perancangan Kerajaan Sarawak.
“Kita memerlukan tenaga kerja tempatan dan tidak lagi boleh bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak masing-masing terlibat dengan STEM iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi,” ujarnya.
Menurutnya, pembukaan Kolej Universiti i-CATS di Kampung Trombol merupakan antara usaha Kerajaan Sarawak melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi termasuk aeroangkasa.
Hadir sama Penghulu BGS Jaafar Abong dan Guru Besar SK Gersik Mohd Hasbullah Jon.-TVS