KUALA LUMPUR, 19 Okt: Kerajaan Sarawak percaya kepakaran dimiliki rakyatnya dalam bidang elektrik dan tenaga baharu akan membantu wilayah itu muncul sebagai hab utama sektor berkenaan di ASEAN.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana Sarawak memiliki banyak sumber bagi menghasil dan membekalkan elektrik namun masih kekurangan kepakaran.
Tambah beliau, bagi menjadi pembekal utama, sumbangan anak Sarawak yang mahir dalam ilmu elektrik dan kecerdasan buatan (AI) sangat diperlukan.
“(Oleh itu) kita akan terus hasilkan tenaga yang akan menjana kegiatan ekonomi lain.
“Sekarang kita tumpukan hasrat untuk menjadi pembekal elektrik utama di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Lan Berambeh di sini, hari ini yang dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Hampir 3,000 pelajar Sarawak di beberapa universiti di Semenanjung Malaysia dan rakyat Sarawak hadir pada sesi berkenaan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak optimis mereka mampu menjadi ‘power house’ dalam pengeluaran elektrik berikutan kemampuan mengeluar dan membekalkannya kepada negara jiran.
“Kita (mempunyai perancangan untuk) kongsi (lebihan) tenaga dengan Semenanjung Malaysia iaitu maksimum 1,000 megawatt (MG) dan begitu juga dengan Singapura,” katanya.
Kemampuan Sarawak kata Abang Johari sudah terbukti apabila berjaya membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia.
“Kita juga melabur di Kalimantan Timur dan akan bekalkan elektrik sehingga ke ibu negara Indonesia yang baharu iaitu Nusantara.
“Bayangkan kita ada sumber elekrik yang stabil untuk disalurkan kepada jiran, kita akan jadi hab di ASEAN,” jelasnya. – TVS.