KUALA LUMPUR , 19 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan impian beliau untuk melihat wilayah berkenaan menjadi pengeluar automotif.
Menurut Abang Johari, ketika ini Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan syarikat pengeluar automotif antarabangsa terlebih dahulu bagi menarik minat mereka untuk menjadikan wilayah itu sebagai hab pemasangan.
“Saya memang ada impian nak keluarkan kereta yang dipasang di Sarawak, contoh namanya ‘Kenyalang Car’, tapi kita mesti ada teknologinya.
“(Namun teknologi itu mestilah) fokus kepada tenaga baharu dan teknologi yang kurangkan karbon kerana ini akan jadi penghubung kepada syarikat luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Lan Berambeh di sini, hari ini.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Abang Johari menambah, pihaknya sudah berbincang dengan Hyundai bagi melihat kesesuaian Sarawak sebagai lokasi pemasangan kenderaan dikuasakan dengan tenaga hidrogen.
“Kalau mereka hendak keluarkan kereta baharu dikuasakan oleh tenaga hidrogen, saya fikir lokasi pemasangan yang sesuai adalah di Sarawak.
“Toyota juga mengeluarkan model kenderaan menggunakan hidrogen, jadi kita tidak mahu keluarkan kereta sendiri dahulu, apa yang kita lakukan adalah untuk bekerjasama dengan syarikat automotif antarabangsa untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat pemasangan,” jelasnya. – TVS.