KUCHING, 19 Okt: Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) merupakan landasan terbaik melahirkan bakat muda sebagai bintang bola sepak dari Bumi Kenyalang.
Salah seorang peserta, Muhamad Amir Ashyraf Azmie mengakui kejohanan itu merupakan platform terbaik bagi membangunkan bakat mereka.
Menurutnya,penganjuran kejohanan itu membolehkan mereka berusaha beraksi dengan terbaik bagi mengasah bakat masing-masing.
“Banyak pasukan dari luar yang bertanding dalam pertandingan ini.
“Kami juga mencuba dalam pertandingan ini untuk mengasah bakat kami,” katanya kepada pemberita semasa Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di Padang C Stadium Sarawak di Kuching pada Sabtu.
Justeru itu, peserta seperti Burhanuddin Othaman mengharapkan liga Petronas terbabit akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi ruang kepada mereka dan generasi baharu mengetengahkan bakat.
Melalui liga tersebut, dirinya pasti bakat-bakat terpendam generasi muda dapat dicungkil secara langsung di atas padang.
“Saya berharap untuk diteruskan di masa depan bagi melahirkan generasi baharu,” jelasnya.
Manakala bagi bapa salah seorang peserta, Sapiee Ali, menzahirkan kesyukuran terhadap penganjuran kejohanan yang disifatkannya sebagai mrmbuka ruang dan peluang kepada anaknya sekali gus generasi muda yang lain mengetengahkan bakat.
Ujarnya, liga tersebut perlu dianjurkan pada setiap tahun bagi memberi manfaat kepada anak muda serta sebagai platform Sarawak mencari bakat pada masa yang akan datang.
“Dalam pandangan saya, berkenaan dengan penganjuran ini baik dan bagus untuk bakat semua anak-anak yang terlibat dalam permainan bola sepak dalam Liga Petronas.
“Jika boleh, bagi pihak, bagi kami, baguslah Petronas menganjurkan pertandingan seperti ini setiap tahun untuk pendedahan anak-anak Sarawak supaya mereka lebih berbakat untuk masa depan sukan bola sepak Sarawak juga,” ujarnya. -TVS