SERIAN, 19 Oktober: Penduduk di kawasan pinggir bandar tidak harus hanya menjadi penonton kepada pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di sekeliling mereka.
Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, setiap lapisan masyarakat harus menjadi peserta kepada usaha tersebut dengan memanfaatkan setiap bantuan atau usaha kerajaan.
“Kita harus melihat perkembangan di kawasan kita ini sebagai satu peluang dan satu kekuatan bagi kita untuk memenuhi keperluan orang yang banyak datang di kawasan kita nanti.
“Malah sekarang pun sudah mula bertambah kalau kita lihat di Pekan Serian dan pastinya kalau mereka pergi ke Lawas, Sibu atau Sarikei umpamanya, mereka singgah di Serian dan sudah pasti mereka membawa duit dan ingin membeli belah di Serian,” katanya ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Serian di Serian Conference Center pada Jumaat.
Beliau berkata, dengan trend tersebut, penduduk di kawasan terlibat perlu lebih kreatif dan mencari produk berkualiti yang memenuhi kehendak masyarakat yang singgah.
Menurutnya, kesalinghubungan antara kawasan utara dan selatan Sarawak pastinya akan membawa kebanjiran kepada kawasan pinggir bandar seperti Serian dan Gedong yang menjadi laluan persinggahan sepanjang perjalanan.
Keadaan itu jelas beliau pastinya akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat menerusi penghasilan produk tempatan.
Justeru beliau menasihatkan penduduk setempat khususnya golongan muda untuk melihat perkara itu sebagai peluang untuk memperkasakan ekonomi mereka dan keluarga. – TVS