SEBUYAU, 19 Okt: Pembinaan Jambatan Batang Lupar yang menghubungkan antara Sebuyau dan Triso serta projek Jalan Utama Kedua (STR) menuju ke Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Batang Samarahan diyakini mengubah landskap masyarakat di luar bandar terutama di Sebuyau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata sejurus siap kelak, jambatan sepanjang 5.1 kilometer (km) itu bakal bergelar jambatan terpanjang di Sarawak bagi menghubungkan penduduk dari utara dan selatan melalui kawasan Sebuyau.
Justeru itu, Julaihi optimis kedua-dua pembinaan tersebut akan merubah landskap pembangunan di Sebuyau selepas ini.
“Ini merupakan jambatan yang begitu strategik dan saya juga percaya apabila Jambatan Batang Lupar ini siap selain daripada jalan raya daripada Sebuyau berhampiran tapak pembinaan Jambatan Batang Lupar, ia secara keseluruhannya akan menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan di kawasan Sebuyau khususnya dan juga kepada luar bandar di seluruh Sarawak.
“Selain daripada jalan raya dari Sebuyau ke Lingga, kita juga mempunyai jalan utama kedua yang juga sudah mula dibina disekeliling kawasan Sebuyau terus sampai ke Jambatan Batang Sadong terus ke Jambatan Batang Samarahan dan ini juga merupakan sebahagian daripada laluan jalan utama kedua selain daripada laluan jalan pesisir diseluruh Sarawak dan ini merupakan satu kemudahan yang seperti saya katakan tadi ‘game changer’ kepada pembangunan kawasan luar bandar,” katanya
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi itu berkata demikian selepas ditemui TVS pada acara Jom Berami di Sebuyau 2024 di Pekan Sebuyau pada Sabtu.
Beliau dalam pada itu turut berkongsi beberapa rancangan lain dalam membangunkan sosio dan ekonomi masyarakat di Sebuyau.
“Dari sudut pelancongan, mungkin satu hari nanti dapat juga kita fikirkan membina Lapangan Terbuka dan kita boleh (membuka restoran) dan menyajikan resepi makanan laut sebab dikawasan Sebuyau ini mempunyai sumber Ikan Terubuk, Ikan Panjang dan banyak lagi ikan laut yang boleh kita saji direstoran tempatan nanti, ” jelas beliau lagi
Hadir sama Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang dan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Annuar Daen. – TVS