GEORGE TOWN, 18 Okt: Dua pegawai penguatkuasa direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Isnin itu dikeluarkan oleh Majistret Muhamad Qayyum Noordin selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penahanan reman terhadap tertuduh lelaki dan wanita berusia 40-an itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap menaiki sebuah kenderaan SPRM dan tiba kira-kira pukul 10 pagi.
Menurut sumber, tertuduh terbabit ditahan sekitar pukul 12.30 hingga 1.30 tengah hari semalam semasa hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi dirakamkan keterangan.
“Tangkapan terhadap mereka adalah susulan penahanan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel di sekitar negeri ini kira-kira pukul 9 malam kelmarin.
“Kedua-dua pegawai itu dipercayai bersekongkol dengan lelaki warga asing berkenaan yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati lelaki warga Bangladesh bersama-sama pegawai lelaki terbabit telah meminta wang kira-kira RM4,500 daripada seorang lelaki warga Indonesia yang tiba dengan pesawat melalui LTAPP pada 22 September lalu sebagai balasan membantunya masuk ke nagara ini.
“Lelaki Indonesia terbabit kemudian memohon masa untuk menyediakan wang itu sebelum diarahkan pergi ke satu kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.
“Susulan itu, SPRM menahan lelaki warga Bangladesh terbabit dan direman seminggu selepas dia menerima wang kira-kira RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia berkenaan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek. – TVS