Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menghadiri Forum Ketua Menteri, Gabenor, dan Kerajaan Tempatan (CMLGF) ke-6 sempena Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA ke-27 2024, di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini. Foto Pejabat Timbalan Premier Sarawak

Sarawak beri penekanan ketersambungan rentas sempadan

ByAhmad Burhanuddin

KOTA KINABALU, 18 Okt: Kerajaan Sarawak memberi penekanan terhadap ketersambungan rentas sempadan dan menggalakkan pertumbuhan mampan di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam satu kenyataan berkata, perhubungan pengangkutan bagi meningkatkan pembangunan wilayah ini menjadi antara peranan penting yang ditekankan.

“Projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Pesisir Utara dan Jalan Penghubung Sabah dan Sarawak (SSLR) adalah sejajar dengan agenda ASEAN Connectivity 2025.

“Sarawak juga memajukan infrastrukturnya dengan menaik taraf pelabuhan, lapangan terbang, syarikat penerbangan sendiri termasuk projek Kereta Api Trans Borneo yang bertujuan memastikan kelancaran ketersambungan di seluruh rantau ini,” katanya ketika menghadiri Forum Ketua Menteri, Gabenor, dan Kerajaan Tempatan (CMLGF) ke-6 sempena Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA ke-27 2024, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, Sarawak menjana 5.75 gigawatt (GW) tenaga elektrik dengan 70 peratus daripada tenaga boleh diperbaharui bagi memastikan peranan strategik wilayah ini dalam menyokong agenda Grid Kuasa ASEAN.

“Sarawak turut menyasarkan untuk mengembangkan kapasiti penjanaannya kepada 15GW bagi mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju tenaga serantau.

“Sejak 2016, Sarawak telah mengeksport tenaga kuasa ke Kalimantan Barat dan secara aktif bekerjasama dengan Indonesia dalam projek hidroelektrik Mentarang Induk selain komited membantu Brunei Darussalam mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharuinya menjelang 2035,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Sarawak telah memulakan projek tenaga bersih seperti projek hidrogen hijau, Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) daripada mikroalga dan mengemas kini peraturan untuk menangkap dan menyimpan karbon serta aktiviti karbon hutan bagi menyatakan komitmen wilayah ini terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Tambah Awang Tengah, beliau turut menyeru kerjasama antara wilayah BIMP-EAGA untuk meningkatkan ketersambungan digital.

“Sarawak melabur dalam Internet berkelajuan tinggi, rangkaian 5G dan Jaringan Gentian Optik Serantau Trans Nusantara yang menghubungkan Sarawak dengan Indonesia dan merancang bekerjasama dengan Brunei untuk menambah baik ketersambungan rangkaian, yang berfungsi sebagai hab lebar jalur,” jelasnya.

Jelas Awang Tengah dalam ucapannya, kemajuan Sarawak dalam pembangunan ekonomi digital melalui Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, sejajar dengan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN dan Strategi Perbandaran Lestari ASEAN.

“Sarawak sedang melaksanakan projek Bandar Pintar di Kuching dan Miri yang bertujuan untuk pengurusan sumber pintar dan memupuk kerjasama dengan sektor swasta untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

“Inisiatif utama seperti Pusat Operasi Bersepadu Sarawak di Kuching dan Pusat Kawalan Bandaraya Miri dengan perkhidmatan bas pintar mempamerkan kemajuan penting Sarawak dalam pembangunan bandar pintar,” katanya.

Katanya, Sarawak juga menekankan usaha ekonomi biru termasuk projek Reef Ball Sarawak, yang menggunakan 16,800 tukun bebola sepanjang 746 kilometer (km) antara 2018 dan 2022, diiktiraf sebagai penghalang bola terumbu terpanjang di dunia oleh Reef Ball Foundation di Amerika Syarikat.

Selain itu, Awang Tengah turut menyatakan usaha Sarawak dalam meningkatkan sekuriti makanan melalui taman agro dan menggunakan teknik pertanian moden, bertujuan untuk mencapai sara diri dengan mengusahakan 20,000 hektar padi berskala besar.

“Antara lain, dalam pembangunan modal insan, Sarawak juga sedang menubuhkan universiti dan institusi latihan teknikal untuk melengkapkan tenaga kerjanya untuk peluang ekonomi masa depan termasuk sebagai hab untuk industri semikonduktor dan aeroangkasa,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan