KUCHING, 18 Oktober: Penubuhan Pusat intervensi Radiologi di Hospital Umum Sarawak diyakini memberi impak positif kepada sistem penjagaan kesihatan di wilayah ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata pusat berkenaan juga akan membolehkan Sarawak melatih lebih ramai pakar dalam bidang tersebut selain membolehkan para pakar sedia ada untuk melakukan prosedur perubatan yang kompleks khususnya dalam bidang radiologi dan kardiovaskular tanpa perlu keluar dari wilayah ini.
Menurutnya, Sarawak berhadapan dengan 1,000 kes serangan angin ahmar setahun dan menerusi perkhidmatan pusat itu, ia dijangka akan dapat menyelamatkan 500 nyawa melalui kaedah rawatan yang berkesan.
“Perkara ini bukan hanya pencapaian teknikal sahaja tetapi ia merupakan langkah kehadapan untuk memastikan setiap ceruk di wilayah kita ini mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi.
” Ia juga satu peringatan kepada tanggungjawab yang kita pikul yang bukan hanya untuk mengapai sempadan perubatan sebaliknya untuk memastikan kejayaan ini boleh diakses oleh semua orang terutamanya di rantau ini di mana perkhidmatan penjagaan kesihatan mungkin lebih mencabar untuk disampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Kesatuan Saintifik Radiologi Malaysia 2024 di sini hari ini.
Dr Sim berkata, pengamal perubatan masa kini bukan sekadar mengamalkan amalan kesihatan sebaliknya mereka juga penjaga kepada kesihatan awam.
Beliau mendedahkan golongan itu berperanan penting memastikan penemuan teknologi perubatan terkini dapat dimanfaatkan setiap lapisan masyarakat di seluruh negara.
“Setiap kehidupan yang kita sentuh, setiap prosedur yang kita lakukan, ia mesti di didorong oleh komitmen kita untuk berkhidmat, menyembuh dan memulihkan maruah persakit terbabit,” katanya. -TVS