MIRI, 18 Okt: Program komuniti ‘Juh Ngopi Bersama Nelayan’ anjuran PETRONAS berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Luak, Miri, di sini hari ini dengan tujuan meningkatkan kesedaran keselamatan maritim dalam kalangan nelayan tempatan.
Program tersebut merupakan inisiatif PETRONAS dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri.
Ia diadakan bagi mengurangkan risiko kemalangan laut dengan memberi latihan keselamatan dan pengetahuan penting kepada komuniti nelayan setempat, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
“Program ini mendidik komuniti setempat tentang amalan keselamatan penting di laut, dengan matlamat mengurangkan kemalangan maritim dan memastikan kesejahteraan nelayan.
“Saya ingin menyeru semua komuniti nelayan untuk mengambil kesempatan berkongsi ilmu bersama agensi Maritim nanti,” katanya.
Selain sesi perkongsian ilmu, nelayan yang hadir turut menerima jaket keselamatan dan papan tanda keselamatan akan dipasang di Jeti Luak dan Pasar Ikan Kuala Bakam.
Sebastian turut menggesa komuniti nelayan yang belum menjadi ahli PNK Miri untuk mendaftar bagi menikmati pelbagai manfaat seperti bantuan pendidikan, perubatan dan khairat kematian.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan program seperti ini demi kesejahteraan rakyat. Dengan kerjasama erat antara PETRONAS dengan agensi kerajaan,
“Kami yakin impak positif dapat terus diwujudkan, seiring dengan aspirasi menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.
Program tersebut diharapkan menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara agensi dengan komuniti serta meningkatkan keselamatan nelayan di perairan Sarawak. – TVS