PETALING JAYA, 18 Okt: Demensia dan Alzheimer yang juga dikenali sebagai nyanyuk merupakan penyakit yang kebiasaannya dihidapi oleh warga emas.
Berdasarkan data seramai 123,000 rakyat Malaysia dikenal pasti mengalaminya pada 2015.
Di Sarawak, pengamal perubatan berkata berlaku peningkatan bilangan kes Alzheimer termasuk pada peringkat awal yang menjejaskan individu yang lebih muda.
Trend itu menunjukkan keperluan mendesak dalam aspek meningkatkan kesedaran awam dan menambah bilangan penjaga terlatih bagi mengurus dan menyokong individu yang menghidapi penyakit itu di Bumi kenyalang.
Pengurus Besar Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM), Gan Chong Shyan berkata, melihat kepada cabaran itu, pihaknya mengambil langkah bekerjasama dengan Rotary Club of Bintulu Central (RCBC) bagi melahirkan lebih ramai pakar dan pengasuh terlatih menerusi pelaksanaan Pelan Induk Penjagaan Alzheimer yang terbahagi kepada tiga fasa.
“Kebanyakan pengasuh di Malaysia terutama di Sarawak tidak dilatih dengan betul mengenai pengetahuan penjagaan sebenar kerana bagi seseorang yang mengalami demensia, penjagaannya sedikit berlainan dengan mereka perlu memahami perubahan tingkah laku dan masalah yang dihadapi.
“Menerusi program ‘Train the Trainer’ (TTT), mereka (peserta) akan mengikuti latihan secara teori dan praktikal dan sekali gus akan mencapai objektif utama kursus.
“Apabila mereka mereka mengikuti latihan yang betul, pelatih-pelatih ini akan berkongsi pengetahuan itu dengan pengasuh atau penjaga kepada pesakit demensia,” katanya ketika ditemui TVS di pejabat ADFM di sini.
Mengulas lanjut, mengenai kerjasama strategik, ADFM akan mengelolakan program TTT yang dianjurkan secara percuma oleh RCBC di empat bandar utama di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bermula November depan.
Mereka menyasarkan 128 peserta dalam kalangan pengamal perubatan yang berkhidmat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan orang awam yang berkelayakan dan memiliki pengalaman dalam penjagaan dan pengurusan pesakit Demensia atau Alzheimer akan menyertai program itu.
“Kami berharap projek bersama RCBC di Sarawak ini dapat diteruskan ke negeri lain juga. Ini kerana sekiranya mempunyai lebih banyak pakar terlatih, ia akan membantu lebih ramai penjaga atau pengasuh kepada pesakit demensia.
“Tanpa latihan yang betul, mereka (pesakit) tidak akan dapat memperoleh kasih sayang, dan penjagaan yang mereka perlukan daripada penjaga,” jelasnya.
Selain itu, Gan berkata, pihaknya bersama RCBC turut menganjurkan siri webinar yang akan diadakan pada setiap hari bermula 19 Oktober ini sehingga November depan dengan menumpukan topik tertentu bagi membantu mereka yang mempunyai hubugan dengan pesakit Alzheimer dalam aspek pengurusan.
Antara topik yang dibincangkan termasuk peranan penting profesional kesihatan dalam memberikan bimbingan sepanjang perjalanan penjagaan dan teknik untuk menjaga kesihatan mental pesakit Alzheimer dan penjaga mereka.
“Peserta juga akan diajar tentang advokasi serta kepentingan kesedaran awam dalam mengubah persepsi tentang Alzheimer,” katanya.
Selain ADFM dan RCBC, rakan kerjasama strategik lain yang terlibat dalam projek ini adalah Methodist Pilley Institute (MPI), Persatuan Kesihatan Mental Sarawak, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Persatuan Cina Persekutuan, District 3310 dan Yayasan Kelab Kelab Rotary Malaysia. – TVS