KOTA KINABALU, 18 Okt: Majlis Fatwa Negeri Sabah telah memutuskan bahawa ajaran, amalan, pegangan, dan fahaman ahli GISB Holdings (GISBH) serta rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
Menurut kenyataan Pejabat Mufti Negeri Sabah pada Khamis, Majlis Fatwa menyatakan bahawa tindakan ahli GISBH di negeri ini bertentangan dengan ajaran Islam, khususnya pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah al-Asyairah dan al-Maturidiah.
Keputusan ini diambil dalam Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah yang berlangsung pada 1 dan 2 Oktober 2024.
“Penyelewengan GISBH merangkumi aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, muamalah ekonomi dan boleh membawa kepada perpecahan umat serta mengancam keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.
Antara penyelewengan akidah yang dikenal pasti termasuk kepercayaan bahawa Abuya (Ashaari Mohammad) ghaib dan akan muncul bersama Imam Mahdi (Syeikh Suhaimi) sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.
Selain itu, GISBH mengamalkan tabarruk yang bercanggah dengan syarak, seperti memakan makanan atau minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut, dan sebagainya yang digunakan oleh pemimpin mereka.
Dari segi syariah, GISBH didapati mengabaikan kewajipan solat Jumaat dengan alasan bahawa kerajaan Imam Mahdi belum ditegakkan, serta mengamalkan solat Jamak Qasar secara berterusan atas alasan perjuangan fisabilillah.
Dari aspek ekonomi pula, penyelewengan GISBH termasuk menyalahgunakan rumah amal untuk mengumpul sumbangan daripada kerajaan dan orang awam. Mereka juga didakwa mengeksploitasi ahli atau pekerja dengan kerja tanpa gaji dan pembayaran yang tidak menepati syarak.
“Oleh itu, ahli GISBH dan mana-mana orang Islam yang mengikuti fahaman serta ajaran GISBH diwajibkan untuk bertaubat dan segera meninggalkan ajaran tersebut,” tambah kenyataan itu. -T VS