KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 yang mengutamakan prinsip madani dan keterangkuman.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian beliau menerima peruntukan RM3.6 bilion sedikit meningkat berbanding tahun sebelumnya.
“Peruntukan ini merangkumi program-program penting termasuk RM25 juta untuk pemerkasaan wanita yang melibatkan program profesionalisme, perantisan dan kepimpinan wanita. KPWKM turut menerima RM200 juta untuk program pemerkasaan institusi keluarga,” katanya dalam sidang media selepas perbentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Selain itu tambahnya, sebanyak RM8 juta juga diperuntukkan untuk Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang akan menyediakan sokongan emosi, bimbingan dan kaunseling kepada wanita, kanak-kanak, warga emas, serta Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kerajaan juga memperuntukkan RM9 juta untuk subsidi yuran pengasuhan bagi ibu bapa berpendapatan rendah dan RM23 juta untuk program bantuan kanak-kanak autisme termasuk pembelajaran dan pembangunan pusat perkhidmatanm,” jelasnya.
Bagi kebajikan warga ema pula jelas beliau, peruntukan sebanyak RM1 bilion yang diberi merangkumi wang saku, bantuan sosial dan pusat aktiviti warga emas.
Manakala peruntukan bagi kebajikan OKU yang berjumlah RM1.3 bilion adalah bagi program pemerkasaan minda dan sosioekonomi mereka.
Pada masa sama, inisiatif lain yang turut diumumkan adalah pusat transit untuk kanak-kanak lepasan institusi, yang akan menyediakan sokongan pendidikan dan kemahiran. – TVS