LAWAS, 18 Okt: Tiga kanak-kanak antara 10 penumpang selamat selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Jalan Awat-Awat, Sundar, di sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi, Zul Rizal Tuah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 1.15 tengah hari sejurus itu menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi kejadian.
“Sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki 10 orang penumpang termasuk pemandu telah kemalangan lalu terjunam ke dalam sungai.
“Tujuh orang daripadanya telah berjaya menyelamatkan diri manakala tiga orang kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan, telah dikeluarkan oleh orang awam dalam keadaan selamat dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sundar bagi mendapat rawatan,” katanya dalam kenyataa hari ini.
Katanya, setakat ini berita ini ditulis maklumat kesemua mangsa belum diperoleh.-TVS