KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kerajaan akan terus memperhebatkan pembangunan sukan negara menerusi peruntukan berjumlah RM230 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk program podium, latihan atlet dan Program Road To Gold.
Kata Anwar, peruntukan itu juga akan digunakan untuk persiapan atlet Para negara menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025;
“(Selain itu) kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan bola sepak dengan menyalurkan peruntukan RM15 juta kepada pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.
“Pasukan bawah 18 dan bawah 13 dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 itu Anwar turut merakamkan penghargaan kepada atlet badminton negara yang menempa nama di persada antarabangsa.
“Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita Pearly Tan dan M. Thinaah serta beregu lelaki Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Ramsani.
“Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan,” katanya.
Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada pembangunan sukan kriket.
Sementara itu katanya kejayaan Selangor Red Giants tbergelar juara dunia bagi e-Sports pada Piala Dunia menyebabkan kerajaan ersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan. -TVS.