Kuala Lumpur, 18 Okt – Malaysia diiktiraf sebagai salah satu negara dengan kadar obesiti tertinggi di rantau Asia Tenggara, dan salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit ialah gula.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menyokong gerakan War on Sugar, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.
“Selain itu, kerajaan bercadang untuk memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan, termasuk bayaran untuk ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan, dan kit ujian pengesanan penyakit.
“Langkah ini diambil sebagai usaha untuk menggalakkan amalan penjagaan kesihatan kendiri dalam kalangan rakyat, “katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini, hari ini
Tambahnya, sebagai langkah menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, kerajaan juga telah memperuntukkan RM27 juta bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat, termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.
Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan kadar obesiti dan penyakit tidak berjangkit, serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya gaya hidup sihat. – TVS