GEORGE TOWN, 18 Okt: Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman dibawa pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) serta rangkaian syarikat gabungan tersebut adalah sesat kerana bercanggah selain menyeleweng daripada ajaran Islam.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati beberapa elemen ajaran dan kepercayaan GISBH menyamai amalan dalam kumpulan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd yang diwartakan sesat sebelum ini.
Menurutnya, keputusan itu bersandarkan maklumat terperinci dan bukti sahih berkaitan GISBH di negeri ini daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Polis Pulau Pinang yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-125 pada 24 hingga 26 September lalu.
“Kita mendapati GISBH menyeleweng daripada sudut akidah antaranya meyakini bahawa Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahdi.
“Mereka juga meyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat iaitu air basuhan anggota badan pemimpin GISBH dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.
“Daripada sudut muamalah ekonomi pula, GISBH mengamalkan ekonomi yang mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita,” katanya pada sidang media di Pejabat JHEAIPP di sini hari ini.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang berkata, pihaknya akan mewartakan keputusan fatwa itu secepat mungkin bagi membolehkan penguatkuasaan dibuat.
Menurutnya, pihaknya juga mengharamkan apa-apa kemudahan, sumbangan, pembiayaan, bantuan atau sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada sesiapa termasuk pertubuhan, rumah amal serta pusat jagaan bagi tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman, ajaran atau pegangan yang mempunyai persamaan. – TVS