KUALA LUMPUR, 18 Okt: Peruntukan RM5.9 bilion yang diperuntukan kepada Sarawak pada Belanjawan 2025 disambut baik oleh ahli Parlimen dari Sarawak.
Peningkatan RM0.1 bilion berbanding belanjawan tahun lepas itu juga dilihat dapat terus merapatkan jurang pembangunan antara negeri di dalam negara khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik serta bekalan air yang bersih.
Ahli Parlimen Sibuti Datuk Lukanisman Awang Sauni berpandangan Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar.
“Saya amat gembira apabila kerajaan meningkatkan peruntukan sebanyak RM300 juta daripada RM100 juta dalam aspek membangunkan sekolah serta klinik daif.
“Saya amat berharap agar pelaksanaan projek-projek yang telah diumumkan di dalam Belanjawan 2025 itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan pantas,” katanya ketika ditemui TVS selepas pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.
Lukanisman yang juga Timbalan Menteri Kesihatan itu turut komited dalam memastikan projek pembinaan serta menaiktaraf klinik yang uzur di Sarawak dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera berikutan mekanisme yang dipakai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak iaitu Sarawak membayar pembinaan projek baharu itu dahulu.
Selain itu, Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri turut meluahkan kegembiraannya apabila Sarawak menerima pertambahan peruntukan untuk digunakan pada tahun depan.

Menurutnya, ia membawa satu kebaikan buat Sarawak serta di kawasan parlimennya dalam membantu rakyat dalam merancakkan pembangunan di wilayah itu seperti menambahbaik fasiliti kesihatan dan pendidikan di wilayah itu.
“Kita amat menghargainya walaupun ada lagi yang disebut oleh Perdana Menteri melalui Belanjawan 2025 tetapi inilah yang kita mahu lihat dimana Kerajaan Persekutuan mempercepatkan lagi pembangunan wilayah kita dan seterusnya rakyat boleh menikmati serta merasai prasarana baru.
“Ianya membantu kami dalam meringankan beban kita sebagai wakil rakyat kerana apabila ianya masih lagi belum diperbaiki, kami sebagai wakil rakyat merasainya bebannya kerana rakyat meminta pertolongan kepada kita,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Lukanisman dan Nancy berharap agar peruntukan yang disalurkan itu terus kepada rakyat supaya rakyat merasai kenikmatan berkenaan. – TVS