KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion menerusi Belanjawan 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu sebanyak RM1.35 bilion disediakan untuk menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas uzur di hospital serta menaik taraf wad usang.
Kata beliau kerajaan berharap peruntukan itu akan dapat menyediakan kemudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat.
“Kerajaan juga terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara dan di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan bagi maksud ini ditingkatkan setiap tahun iaitu RM100 juta pada 2023 kepada RM150 juta pada tahun ini dan RM300 juta untuk tahun hadapan.
“Bagi mengukuhkan pusat-pusat kecemerlangan kesihatan yang telah dikenal pasti, kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta termasuk untuk perolehan peralatan terkini.
“Di samping pusat kecemerlangan sedia ada, kerajaan juga sedang melaksanakan kerja-kerja awalan bagi menubuhkan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu,” katanya pada pembentangan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu Anwar berkata, Ikhtiar Rakan KKM akan diperkenalkan melibatkan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.
“Pelaksanaannya akan bermula di lima hospital KKM yang mempunyai permintaan tinggi serta infrastruktur sesuai dengan peruntukan awal RM25 juta.
“Kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit KKM melibatkan perkhidmatan seperti kardiologi, radiologi dan nefrologi dan pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan elemen persaingan mendapatkan harga terbaik buat Kerajaan.
“Penyumberluaran ini turut diteruskan dengan Institut Jantung Negara (IJN) melibatkan pesakit jantung dari kalangan pesara kerajaan,” katanya lagi. -TVS.