KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kerajaan menambah peruntukan kepada RM50 juta untuk meluaskan pendidikan kecerdasan buatan (AI) di lima universiti penyelidikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, bidang AI di universiti tempatan sebelum ini telah memperlihatkan petanda positif dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Kata beliau perkara ini memberikan harapan terdapat petanda -petanda yang institusi pendidikan Malaysia sudah menuju ke arah kecemerlangan.
“(Sehubungan itu pada) pada tahun hadapan, pendidikan berkaitan AI akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta ringgit, meningkat berbanding RM20 juta tahun ini.
“Universiti Malaya (akan) menumpukan AI bidang perubatan bagi menangkis tantangan penyakit maut seperti kanser, Universiti Putra Malaysia akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NASCA) bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber (yang) serba rumit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu Anwar berkata, Universiti Sains Malaysia akan menelusuri AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hub semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon.
Universiti Kebangsaan Malaysia pula jelas beliau akan menerajui AI alih bahasa dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Pada masa yang sama, kerajaan akan terus menyuburkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta.
“Dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) ditingkatkan kepada RM600 juta ringgit berbanding RM510 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya. -TVS.