Kuala Lumpur, 18 Okt – Kerajaan bertekad mengekalkan pendekatan belanjawan mengembang meskipun berusaha untuk mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat. Anggaran Belanjawan 2025 telah diumumkan sebagai yang tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM421 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan ini merangkumi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, serta RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
“Selain daripada peruntukan pembangunan kerajaan, projek usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai RM9 bilion juga akan dilaksanakan, di samping pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC yang berjumlah RM25 bilion.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan awam untuk pembangunan pada tahun 2025 mencapai RM120 bilion,” katanya semasa membentangkan belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh, kerajaan menekankan bahawa masa ini bukanlah untuk melaksanakan projek mega.
Sebaliknya, fokus akan diberikan kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian berdasarkan keutamaan setiap negeri.
“Pendekatan ini diharapkan dapat memastikan pembangunan negara berlaku secara terangkum, dengan mengambil kira keperluan rakyat di pelbagai peringkat,” katanya. – TVS