KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kementerian Pertahanan akan menerima peruntukan RM21.2 bilion menerusi Belanjawan 2025 umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Perdana Menteri jumlah itu bertambah sebanyak RM1.4 bilion berbanding yang diterima pada tahun ini.
Kata beliau kerajaan juga akan terus memastikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara, pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.
“Bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE – Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM terutamanya yang mempunyai kelayakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Yang turut hadir, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu Perdana Menteri memberi jaminan tumpuan khusus akan diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.
Sebagai contoh kata beliau syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan.
Berkenaan isu di Laut China Selatan pula, Anwar menegaskan ketegangan yang timbul perlu diselesaikan di meja rundingan.
“Kita kekal dengan pendirian bahawa ini boleh ditangani secara aman (namun) tidak bermakna kita bertoleransi dengan hak dan kedaulatan negara.
“Aset-aset perairan akan ditambah dan diselenggara.
“Ini merangkumi perolehan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) iaitu enam kapal di bawah Ship Life Extension Programme manakala bagi fasa dua, sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship dan dua Kapal Ronda Generasi Baharu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara.
“Antaranya untuk membina baharu dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)di Rantau Panjang dan Bukit Berapit serta membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah,” katanya.
Pada masa sama jelas Perdana Menteri, kerajaan akan membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.
“Selain itu, pembangunan pekan-pekan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand turut diberi keutamaan mencakup penyediaan prasarana asas serba lengkap dengan peruntukan hampir RM1 bilion,” katanya. -TVS.