Kuala Lumpur, 18 Okt – Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif percukaian progresif yang bertujuan menambah hasil negara dan meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang diperbaharui akan bermula pada 1 Mei 2025, dengan beberapa perubahan penting.
“Cukai Jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. Sebaliknya, cukai ini akan dikenakan kepada barangan bukan keperluan asas seperti barangan premium yang diimport, termasuk ikan salmon dan avocado,” katanya semasa membentangkan belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Di samping itu jelasnya, skop Cukai Perkhidmatan juga akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial, seperti perniagaan yang melibatkan perkhidmatan kewangan berasaskan fi.
Tambah beliau, untuk memastikan perniagaan tidak terjejas, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan industri sebelum memuktamadkan skop perluasan serta kadar cukai yang dikenakan.
“Sebahagian daripada hasil cukai yang diperoleh akan digunakan untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam sektor pendidikan dan kesihatan,” jelas beliau.
Selain itu, kerajaan juga akan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.
“Langkah ini bertujuan meluaskan asas cukai agar tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji tetapi turut merangkumi pemilik syarikat dan individu dengan pemilikan harta saham bernilai jutaan ringgit,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, kerajaan akan mempertimbangkan pengecualian terhadap pendapatan dividen daripada simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), amanah saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan pendapatan dividen dari luar negara.
Inisiatif ini diharapkan dapat mengukuhkan hasil negara sambil mengekalkan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan. – TVS