KUCHING, 18 Okt: Tempoh 20 tahun kewujudan American Corner Sarawak menjadi bukti hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam mencapai keterangkuman digital serta pemerkasaan pembangunan belia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Lincoln Corner memainkan peranan tersendiri yang berfungsi sebagai platform pertumbuhan dan pembelajaran dalam dunia pasca pandemik yang berubah pesat.
Menurutnya, sudut tersebut menjadi salah satu inisiatif untuk terus memperkasakan belia dan pembangunan bakat melalui perkongsian ilmu berkenaan dengan teknologi, pertukaran silang budaya dan pembangunan usahawan.
“American Corner Sarawak telah memainkan peranannya dalam pemulihan, menyesuaikan programnya untuk berfungsi sebagai platform untuk pertumbuhan dan pembelajaran dalam dunia pasca pandemik yang telah berubah dengan pesat.
“Dalam American Corner Sarawak, antara program yang dirancang seperti menyediakan alatan dan teknologi baharu yang membolehkan peserta menavigasi perkembangan pesat digital teknologi disamping memperkasakan belia dan komuniti kami dengan kemahiran yang mereka perlukan dalam dunia yang semakin saling terhubung,” katanya.
Teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat semasa berucap di Majlis Pelancaran Ulang Tahun ke-20 American Corner Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak di Kuching pada Jumaat.
Beliau berharap American Corner Sarawak terus memfokuskan program seperti kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital dalam membantu wilayah ini antara peneraju bidang tersebut di rantau ini.
“Kedua-dua bidang ini adalah enjin bagi masa depan, dan kita mesti memastikan bahawa Sarawak bukan sekadar penumpang dalam hal ini tetapi sebagai penyumbang aktif dan dengan mempertimbangkan peranan AI yang berpotensi untuk merevolusikan industri untuk juga meningkatkan kualiti hidup.
“Kita perlu melengkapkan komuniti kita dengan pengetahuan dan kemahiran untuk terlibat dengan AI bukan sebagai konsep yang jauh tetapi sebagai alat yang boleh meningkatkan kehidupan dan mencipta peluang begitu juga ekonomi digital yang sedang membentuk semula cara kita berniaga dan American Corner Sarawak berada pada kedudukan yang ideal untuk memupuk bakat dan keusahawanan tempatan,” ujarnya.
American Corner Sarawak ialah inisiatif kerjasama antara Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan Pustaka Negeri Sarawak yang bermula pada 11 Mei 2004 yang kemudiannya dikenali sebagai Sudut Lincoln dan dilancarkan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Duta Besar Amerika Syarikat, Marie T. Huhtala.
Ia berfungsi sebagai pusat sumber kebudayaan dan pendidikan yang menggalakkan persefahaman antara Amerika Syarikat dan Malaysia khususnya Sarawak. -TVS