KUCHING, 18 Okt: Lima dikhuatiri lemas selepas bot yang digunakan untuk menjalani latihan regata karam di Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa di sini, petang ini.
Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, Syamsyul Mustapha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.20 petang dengan menggerakkan 13 anggota ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibat 15 orang peserta menggunakan satu bot untuk latihan regata.
“Seramai 10 orang berjaya menyelamatkan diri dan lima orang masih gagal dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba dan pihak polis marin masih berusaha mencari lima orang lagi mangsa yang belum dijumpai.
“Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba juga sudah dimaklum berhubung kes ini,” ujarnya. – TVS