KUCHING, 18 Okt: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak menerima empat aduan penipuan menggunakan nama jabatan itu pada bulan ini.
Pemangku Pengarah JBPM Negeri Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii berkata, pihak tidak bertanggungjawab tersebut dikesan membuat penawaran pemberian tender pembekalan dengan menggunakan nama Ketua Pengarah JBPM dan Pengarah Bomba Negeri.
Menurutnya, taktik yang digunakan ‘scammer’ ini adalah dengan menghubungi terus pembekal dengan menunjukkan surat setuju terima palsu kepada mangsa dan cuba memperdayakan mangsa.
“Setakat ini kita belum menerima aduan kerugian daripada mangsa kerana semua mangsa telah bertindak dengan menghubungi JBPM lebih awal untuk mengesahkan perkara tersebut.
“JBPM Negeri Sarawak memandang serius kes tersebut yang menggunakan nama JBPM untuk memperdayakan mangsa dan kita telah bertindak membuat laporan polis untuk tindakan pihak polis selanjutnya ke atas perkara tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tiong menambah, JBPM Negeri Sarawak mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang tawaran pemberian kontrak pembekalan khususnya bagi kontrak sebutharga dan secara perolehan terus menggunakan nama JBPM.
“Tawaran sebut harga pembekalan palsu yang dilakukan oleh ‘scammer’ bagi memperdayakan mangsa ialah membekal dan menghantar peralatan alat ganti/aksesori kenderaan ke jabatan bomba dan penyelamat Simunjan yang ditawarkan
secara berlainan kepada dua syarikat berlainan di sekitar Kuching.
“Selain itu,membekal dan menghantar peralatan alat ganti/aksesori kenderaan ke jabatan bomba dan penyelamat Daerah Saratok yang ditawarkan kepada satu syarikat di Sibu dan membekal dan menghantar tayar untuk kenderaan ke jabatan bomba dan penyelamat Daerah Subis yang ditawarkan kepada satu syarikat di Miri,” ujarnya.- TVS