KUCHING, 17 Okt: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak mengumumkan Festival What About Kuching (WAK) 2024 bakal diserikan dengan acara BorneoCraftGlobal Expo di Bandaraya ini pada November depan.
Timbalan menterinya, Datuk Snowdan Lawan optimis penganjuran ekspo itu baka lmenjadi platform kepada penggiat seni Sarawak menampilkan karya masing-masing sekali gus meraih perhatian penggiat seni luar negara.
Menurutnya ekspo WAK 2024 itu bukan sahaja mempamerkan kekayaan seni dan budaya tempatan, tetapi juga berfungsi sebagai platform penting untuk artis tempatan untuk bersaing sebelum mara ke peringkat antarabangsa.
“Saya ingin memuji seluruh pasukan Festival WAK, yang diketuai oleh Donald dan Marina Tan, bersama kurator berbakat Edric Ong, serta semua artis yang menjayakan pameran ini.
“Ini adalah pameran Seni dan Kraf yang ketiga oleh WAK di Kuching, dan terima kasih kepada sokongan berterusan daripada Spring Management, kami berpeluang untuk menganjurkannya di ruang baru yang menakjubkan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Snowdan menekankan tema pameran “Elemen Alam,” yang menangkap inti pati kecantikan semula jadi Sarawak, sejajar dengan visi Kementerian kami iaitu ‘Sarawak – Lebih Banyak untuk Ditemui.’ “
“Karya-karya artis, yang merangkumi arca kayu hanyut yang menakjubkan hingga seni tin kitar semula, mencerminkan semangat inovasi dan pemikiran ‘sisa kepada kekayaan’ yang berkembang pesat dalam industri kreatif Sarawak.
“Selain itu, kami teruja untuk menyambut seorang kurator dari Paris yang akan melawat Sarawak bagi membincangkan penyertaan kami dalam Revelations Paris 2025 yang berprestij.
“Ini akan menjadi satu pencapaian besar, kerana ia memberi peluang kepada artis tempatan kita untuk menunjukkan bakat di pentas antarabangsa di Grand Palais,” ujarnya.
Pameran WAK Festival akan berlangsung sehingga 30 Oktober 2024 menjanjikan pelbagai acara yang merayakan suasana seni dan budaya yang bertenaga di Sarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai Pameran All About Arts WAK dan Bengkel, hubungi Edric Ong di +60 19 858 3566. – TVS