KUALA LUMPUR, 16 Okt: Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini tidak akan mengabaikan mahupun mengecualikan mana-mana kumpulan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan Kewarganegaraan hanya melibatkan dua kategori pemastautin tetap di Malaysia iaitu mereka yang diberikan MyPR dan mempunyai permit masuk serta memiliki dokumen perjalanan asing yang dirujuk warga asing sepenuhnya dan pemegang MyPR yang tidak mempunyai permit masuk atau dokumen perjalanan negara asing yang merujuk mereka lahir sebelum Merdeka dan sebelum Pembentukan Persekutuan Malaysia.
Menurutnya, pindaan pemberian taraf kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang adalah bertujuan bagi mengelak anak-anak pemastautin tetap memiliki dwi kewarganegaraan.
“Prinsip yang utama adalah, semua anak pemegang status pemastautin tetap kategori pertama iaitu warga asing sepenuhnya, boleh menuntut taraf kewarganegaraan asal ibu bapa mereka dan adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk melaporkan kelahiran anak-anak mereka di Kedutaan Negara asal masing-masing agar mendapat taraf kewarganegaraan negara asal mereka.
“Bagi kategori kedua, kerajaan memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan individu di bawah kategori ini yang berjumlah sekitar tiga puluhan ribu dipermudahkan dan diutamakan urusan permohonan kewarganegaraan mereka di bawah semua jalur permohonan dan kementerian sudah pun siap memuktamadkan garis panduan permohonan yang amat jelas dan telus khususnya untuk Perkara 15A dan 19(1),” katanya pada sidang media berkenaan RUU Perlembagaan (Pindaan) berkenaan Kewarganegaraan 2024 di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab dakwaan kegusaran berlakunya terkesampingan kepada sesuatu kelompok susulan pindaan itu.
Tambah Saifuddin, penjelasan lanjut mengenai pindaan perlembagaan berkenaan akan dimasukkan dalam sesi penggulungan pada esok.
Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana anak daripada golongan orang asal, anak negeri dan pribumi yang lahir di Malaysia ini secara kuat kuasa undang-undang adalah warganegara Malaysia.
Beliau menangkis kegusaran golongan itu dengan menyatakan kejaminan itu jelas dinyatakan dalam Perkara 160 dan 161 Perlembagaan Persekutuan.
“Seperti mana termaktub dan terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan, bahawa kumpulan ini ditafsirkan dengan jelas adalah seorang warganegara Malaysia secara kuat kuasa undang-undang tertakluk kepada syarat-syarat yang melayakkan seperti ikatan perkahwinan dan bukti kemastautinan,” katanya lagi.
Akhir tahun lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.
Ia meminda Perkara 14(1)9B dengan memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang biarpun hanya ibu yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia. – TVS