Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemenang WITSA World Cup, Khairul (kiri) memegang pingat emas dan trofi Cabaran Zohari, manakala Yanni (kanan) merakam kenangan bersama selepas majlis pemeteraian MOU di Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Terima kasih, Cikgu – Juara dunia ‘WITSA World Cup’

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 17 Okt: Juara dan naib juara pertandingan Persekutuan Inovasi, Teknologi, dan Perkhidmatan Sedunia (WITSA) World Cup, Khairul Anwar dan Yanni Xinyan mendedahkan kejayaan di peringkat antarabangsa itu diperoleh hasil didikan guru mereka.

Yanni yang merupakan Ketua Pegawai Komersial Entomal Sdn. Bhd. menzahirkan terima kasih kepada guru sekolah menengahnya, Madam Wu.

“Tanpa inspirasi daripada guru saya, Madam Wu, saya mungkin tidak akan memulakan perjalanan ini ke arah kelestarian.

“Beliau telah menanamkan benih kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar dalam diri saya ketika saya berusia 16 tahun,”katanya ketika ditemu bual TVS selepas majlis pemeteraian MOU di Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Yanni turut berkongsi bahawa satu dokumentari yang pernah ditayangkan oleh Madam Wu memberi kesan dan menjadi aspirasi kejayaannya hari ini.

“Dokumentari tentang pemuliharaan hidupan liar benar-benar membuka mata saya. Saya melihat bagaimana manusia boleh memberi impak positif kepada alam sekitar dan bagaimana setiap individu boleh memainkan peranan. Sejak itu, saya berazam untuk berusaha ke arah kelestarian,” jelasnya.

Yanni, yang menyertai WITSA World Cup, berjaya membawa pulang gelaran naib juara melalui projeknya yang menggunakan lalat hitam untuk mengubah sisa menjadi sumber.

“Kami membiak lalat hitam untuk mengatasi masalah sisa, khususnya sisa pertanian dan makanan. Dengan inisiatif ini, kami berharap dapat mengurangkan pembuangan sisa dan meningkatkan keselamatan makanan,” jelasnya.

“Projek ini juga melibatkan usaha kami untuk menjadikan sisa sago dan kelapa sawit sebagai makanan haiwan yang berkelanjutan, dan kami telah menandatangani perjanjian usahasama dengan SEDC Nutreco untuk mencapai matlamat ini,” tambahnya.

Yanni berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk menyedari kepentingan kelestarian.

Selain itu, Yanni berbangga dapat mewakili Malaysia di Armenia melalui penyertaan WITSA World Cup.

“Ini merupakan satu penghormatan besar untuk mewakili negara saya di peringkat antarabangsa. Saya berharap usaha kami dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di Malaysia untuk terlibat dalam inisiatif kelestarian,” katanya lagi.

Sementara itu, Khairul Anwar, pengasas dan CEO Pandai, turut mengakui sumbangan penting guru dalam hidupnya.

“Saya bukan seorang guru formal, tetapi saya dan rakan-rakan pengasas telah terlibat dalam pelbagai program pendidikan di sekolah. Kami sering berkolaborasi dengan guru-guru untuk merangka modul yang sesuai bagi pelajar.

“Ini memberi kami kelebihan dalam memulakan Pandai,” katanya sambil menambah dia dan pasukannya baru-baru ini memenangi WITSA World Cup sekali gus muncul sebagai juara dunia.

“Proses menyertai WITSA World Cup sangat mengujakan. Kami tidak menyangka dapat mewakili negara di peringkat antarabangsa dan membawa pulang trofi. Ia adalah pengalaman yang sangat berharga,” ujarnya.

Khairul menambah bahawa pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan seseorang.

“Kami percaya bahawa pendidikan dapat mengubah kehidupan seseorang. Menerusi Pandai, kami berusaha untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar, terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Kini hampir satu juta pelajar telah menggunakan Pandai, dan kami berharap lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaatnya.

“Kami bertekad untuk menyediakan platform yang mudah diakses, di mana pelajar boleh belajar dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif,” jelasnya lagi.

Dengan ini,  Yanni dan Khairul sepakat merasakan bahawa sokongan dan bimbingan daripada guru adalah sangat penting dalam membentuk perjalanan seseonrang individu ke arah kejayaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah memberi inspirasi kepada kami. Kami berjanji akan terus berusaha untuk memberikan impak positif kepada masyarakat melalui sains dan teknologi,” kata Yanni dengan penuh harapan.

“Pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih baik. Kami berazam untuk membantu lebih ramai pelajar mencapai potensi mereka, dan kami percaya dengan usaha ini, lebih banyak pintu peluang akan terbuka untuk mereka,” tambah Khairul.

Terdahulu, majlis penyampaian anugerah WITSA World Cup (WWC) berlangsung dalam kerangka WCIT2024/DigiTec di Yerevan, Armenia, pada 7 Oktober 2024, di Kompleks Karen Demirtchian.

Syarikat pemula dari 10 negara, termasuk Sepanyol, Romania, Yunani, Armenia, Jordan, Malaysia, Mesir, United Kingdom, dan Bahrain, telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut, di mana setiap negara telah mengadakan pertandingan kebangsaan terlebih dahulu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan