KUCHING, 17 Okt: Kerajaan memperuntukkan RM930 juta menerusi Belanjawan 2024 bagi menaik taraf bangunan dan prasarana 450 sekolah daif termasuk 185 projek di Sarawak.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad berkata peruntukan itu menunjukkan komitmen dan keprihatinan kerajaan bagi memastikan keperluan, kebajikan serta masa depan pelajar dalam sektor pendidikan terjamin.
“Salah satu projek berkenaan melibatkan pelaksanaan projek penambahbaikan dan naik taraf di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di Padawan,” katanya di sini hari ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru – baru ini memaklumkan sebanyak 717 daripada 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah siap sepenuhnya setakat 11 Oktober lepas.
KPM berkata, baki 183 projek kini sedang dalam pembinaan manakala 176 berada pada peringkat prabina serta 15 lagi sedang dinilai semula.
Di Sarawak KPM memaklumkan sebanyak 400 projek dilaksanakan.
Sementara itu Guru Besar SK Matang Suraya Wahap berkata, sekolah berkenaan antara yang mendapat manfaat peruntukan disalurkan menerusi Belanjawan 2024 untuk membaiki sekolah daif.
Jelas beliau, sekolah itu menerima gantian penuh 24 bilik darjah yang dilengkapi dengan semua perabot termasuklah kerusi serta meja yang mencukupi.
“Kita juga mempunyai pusat sumber yang sangat selesa kerana dipasang pendingin hawa selain surau yang dilengkapi dengan kemudahan perabot serta bilik komputer dan bilik multimedia. Semuanya lengkap dan selesa,” ujarnya.
Kata beliau bangunan baharu itu membolehkan sekolah berkenaan menerima lebih ramai murid mencecah 812 orang berbanding 530 sebelum ini. -TVS.