KUALA LUMPUR, 17 Okt: Drama bersiri terbaharu bertajuk ‘SENYAWA’ bakal menemui penonton pada 25 Oktober ini di platform penstriman popular Asia, iQIYI.
Drama ini menampilkan tema kontroversial dan jarang dibincangkan dalam kalangan masyarakat Islam iaitu mengenai isu ‘ibu tumpang’.
Dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Trisha Ooi, Shahz Jaszle dan Siti Hariesa serta bintang lain seperti Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, dan Heryanto Hassan, drama ini diarahkan oleh Eyra Rahman, seorang pengarah berpengalaman yang terkenal dengan karya-karya penuh emosi.
‘SENYAWA’ mengisahkan kehidupan Zabrina (lakonan Trisha Ooi), seorang usahawan wanita berjaya yang menghadapi konflik dalaman selepas mengalami keguguran dan disahkan menghidap ‘cervical insufficiency’.
Kehidupan bahagianya bersama-sama suami, Iskandar (lakonan Shahz Jaszle) tergugat apabila dia didesak oleh ibu mertuanya, Dato’ Asmida (lakonan Datin Nina Juren) untuk mendapatkan cucu.
Tekanan ini memaksa Zabrina untuk mempertimbangkan pilihan ibu tumpang, satu keputusan yang mencetuskan ketegangan dan konflik emosi.
Perkara menjadi lebih rumit apabila Zabrina bertemu dengan Lutfiyah (lakonan Siti Hariesa), seorang gadis kampung yang berperwatakan seakan dirinya yang kemudiannya dilihat sebagai calon sesuai untuk menjadi ibu tumpang.
Menurut Trisha Ooi, watak Zabrina menuntut persiapan yang mendalam untuk menangani pelbagai lapisan emosi.
“Watak ini sangat mencabar kerana saya perlu merasai dan mempamerkan peralihan emosi yang kompleks, daripada seorang yang tegas kepada seorang wanita yang rapuh.
“Saya berharap penonton akan dapat merasai pergolakan jiwa Zabrina dan memahami keputusan-keputusan sukar yang perlu diambil,” katanya.
Bagi Shahz Jaszle pula, watak Iskandar memberikan perspektif baharu dalam kerjaya lakonannya.
“Watak suami bukanlah asing bagi saya, tetapi apabila melibatkan isu ibu tumpang, ia membawa dimensi baharu yang mencabar dari segi moral dan agama.
“Iskandar digambarkan sebagai suami yang sanggup melanggar hukum agama demi cinta dan keinginannya untuk melihat isterinya bahagia,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Hariesa yang memegang watak Lutfiyah percaya bahawa drama ini membawa mesej penting yang relevan kepada masyarakat.
“SENYAWA memberikan pengajaran tentang pentingnya kejujuran dan komunikasi dalam perhubungan serta kesan buruk apabila kita mengabaikan nilai agama,” katanya.
Pengarah Eyra Rahman turut berkongsi pandangannya tentang pemilihan tema sensitif ini.
“Drama ini membincangkan isu berat tentang memilih jalan yang salah apabila berdepan tekanan hidup. Ia adalah refleksi terhadap keputusan-keputusan yang mungkin bertentangan dengan ajaran agama kerana keinginan dan desakan,” jelasnya.
Pengurus Besar iQIYI Malaysia dan Singapura, Jony Deng, berharap ‘SENYAWA’ akan mendapat sambutan hangat daripada penonton tempatan.
“Sama seperti drama sebelumnya di iQIYI, kami berharap ‘SENYAWA’ bukan hanya menghiburkan tetapi juga memberi kesedaran kepada penonton tentang pentingnya memahami kesan keputusan yang kita ambil dalam hidup,” kata Jony.
‘SENYAWA’ akan bersiaran mulai 25 Oktober 2024, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9:00 malam.
Untuk pengalaman menonton yang lebih lancar, anda boleh muat turun aplikasi iQIYI dari App Store atau Play Store dan tempah drama ini untuk notifikasi awal.
Nikmati kisah penuh emosi yang bakal mencetuskan perbincangan mendalam mengenai kekeluargaan, cinta, pengorbanan, dan hukum agama.- TVS