SHAH ALAM, 17 Sept: Lima lelaki serta dua wanita tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes samun jongkong emas bernilai RM5.9 juta di Kompleks Industri Puchong, bulan lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam kejadian pada 13 September lepas, dua pekerja sebuah syarikat yang membawa ketulan jongkong emas seberat 16.9 kilogram (kg) disamun empat lelaki bertopeng.
Kata beliau, kedua- dua pekerja itu juga dipukul serta diacu parang sebelum penjenayah melarikan jongkong emas berkenaan yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan syarikat berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, bermula pada 8 hingga 14 Oktober lepas, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan suspek yang berumur dalam lingkungan 27 hingga 60 tahun.
“Hasil semakan mendapati empat suspek memiliki 25 rekod jenayah lampau dan narkotik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan menggunakan duit jualan jongkong emas itu untuk membeli tiga kereta mewah iaitu dua jenis BWM dan sebuah Mercedes Benz terpakai yang berharga ratusan ribu ringgit.
“Mereka sempat menggunakan kereta itu tidak sampai sebulan manakala sebahagian lagi wang jualan barangan curi itu digunakan untuk membeli emas,” katanya.
Beliau memberitahu, polis juga berjaya merampas kenderaan jenis Perodua Axia yang digunakan ketika menyamun selain sebuah kereta jenis Volkswagen Passat.
“Turut dirampas empat kepingan emas serta wang tunai hasil jualan barangan yang disamun,” katanya.
Tambah beliau, dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini di bawah Seksyen 395/397 kanun Keseksaan.
“Bagi pertuduhan kedua, masing – masing dituduh di bawah Seksyen 214 dan Seksyen 414 kanun sama,” katanya. -TVS.