SHAH ALAM, 17 Okt: Polis Selangor merampas dadah bernilai RM103.54 juta sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata sekiranya kesemua bekalan dadah berkenaan ‘terlepas’ ke pasaran, ia boleh disalah guna oleh seramai kira – kira 2.5 juta penagih.
Jelas beliau, ganja merupakan dadah terbanyak dirampas iaitu 450.46 kilogram (kg) diikuti ketamin (95.53 kg), heroin kategori tiga (29.41 kg) dan serbuk heroin seberat 4.94 kg.
“Polis juga merampas 11, 619 liter cecair ekstasi, 23,765 liter cecair syabu dan 517, 971 biji pil eramin 5,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Sementara itu beliau memaklumkan Polis Selangor hari ini akan melaksanakan pelupusan 1,993.98 kg dan 267,711 liter pelbagai jenis dadah yang melibatkan 5,894 kertas siasatan.
Kata beliau kesemua bahan itu merupakan rampasan kes sejak 2009 hingga 2024.
“Dadah yang akan dilupuskan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan oleh Syarikat Kualiti Alam ini dianggarkan bernilai hampir RM131.71 juta,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor berjaya menahan seramai 18,878 orang yang terlibat dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah bagi tempoh Januari hingga September 2024.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 636 orang pengedar disiasat di bawah Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.-TVS.