GEORGE TOWN, 17 Okt: Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah selepas memberkas lima individu bersama lebih 26.2 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM115,000 pada operasi di sekitar negeri ini selama dua hari.
Operasi bermula dari pukul 4 petang pada Selasa sehingga pukul 5 pagi (Rabu) itu membabitkan empat lokasi serbuan secara serentak yang melibatkan penahanan suspek berusia 24 hingga 36 tahun.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi terancang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang itu bermula dengan penahanan dua lelaki dan tiga wanita di sebuah kawasan tempat letak kereta di sini.
Katanya, polis berjaya merampas tiga buah beg berzip pelbagai jenama yang mengandungi 35 bungkusan plastik lutsinar dadah jenis ganja seberat 20.1 kg bernilai RM65,960 bersama suspek.
“Selepas itu, polis menyerbu sebuah rumah di Ayer Itam dan merampas tiga bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1.5 kg bernilai RM18,640.
“Turut dirampas, sembilan bungkus lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 4.6 kg bernilai RM30,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Hamzah, keseluruhan rampasan dadah terbabit dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 135,000 penagih.
Tambah beliau, hasil risikan dan siasatan lanjut mendapati sindiket itu bergiat aktif dalam kegiatan mengedar dadah jenis ganja untuk pasaran tempatan sejak pertengahan tahun ini.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga tangkapan positif dadah jenis THC dan methamphetamine, manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC bernilai RM5,000 untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Ujar Hamzah, kesemua suspek direman selama seminggu sehingga 22 Oktober depan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS