ISTANBUL, 17 Okt: Seorang lelaki ditemukan masih hidup selepas 67 hari terapung di Laut Okhotsk di timur jauh Rusia dalam insiden maritim yang meragut dua nyawa, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pejabat Pendakwa Raya Pengangkutan Timur Jauh dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata sebuah bot kecil jenis katamaran ditemukan pada Isnin berhampiran kampung Ust-Khairyuzovo di Wilayah Kamchatka, Rusia timur, lebih dua bulan selepas ia hilang.
Pada 9 Ogos, bot itu meninggalkan Cape Perovsky di Wilayah Khabarovsk menuju ke wilayah Sakhalin, membawa tiga orang, dua lelaki dan seorang budak lelaki berusia 15 tahun.
“Selepas beberapa ketika, komunikasi dengan mereka terputus dan lokasi mereka kekal tidak diketahui,” menurut kenyataan pejabat pendakwa raya.
Terdapat laporan mengenai kemungkinan masalah enjin yang mungkin menyebabkan insiden itu, namun tiada pegawai yang mengesahkan atau menafikan perkara berkenaan.
Media tempatan mengenal pasti mangsa yang terselamat sebagai Mikhail Pichugin, 46, yang ditemukan dalam keadaan sangat kurus. Abangnya, Sergei, 49, dan anak Sergei, Ilya, 15, terkorban.
“Mangsa yang terselamat mempunyai pakaian hangat, jaket keselamatan, suar dan bekalan makanan serta air yang sedikit,” lapor media tempatan.
Pejabat Pendakwa Raya membuka siasatan jenayah di bawah Kanun Jenayah Rusia kerana melanggar peraturan keselamatan pengangkutan air.
Pichugin kini sedang menerima rawatan perubatan. Pihak berkuasa masih belum mendedahkan bagaimana dia berjaya bertahan lebih dua bulan di laut. – TVS