KOTA SAMARAHAN, 17 Okt: Peranan seseorang kurator professional di sesebuah galeri tidak hanya sekadar menguruskan pameran tersebut namun turut berperanan dalam meningkatkan kualiti pameran menerusi konsep kuratorial yang berbeza daripada pameran sebelumnya.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Badrolhisham Mohamad Tahir, seseorang kurator berupaya menghidupkan sebuah pameran biasa kepada luar biasa dengan penghasilkan konsep kuratorial yang baik hasil perbincangan bersama pelukis dan pemilik galeri.
Badrol yang mempunyai pengalaman selaku kurator lebih dari 15 tahun di Galeri Petronas dan Balai Seni Visual Negara sebelum menyertai UNIMAS sebagai pensyarah berkata, kegagalan dalam memahami tugas seorang kurator secara profesional menjadikan sesebuah pameran itu tidak memenuhi konsep kuratorial pameran dengan genre tersendiri.
“Kurator ini adalah sebuah profesion yang sangat spesifik yang akan membincangkan mengenai kuratorial dimana ia (adalah) konvensyen dimana dia (kurator) sebagai sebagai seseorang yang mengetengahkan beberapa idea yang dibuat oleh seorang artis (pelukis) dan apa juga yang dia (Kurator) fikirkan perlu untuk masyarakat (penonton) tahu untuk membuat satu kejutan.
“Kejutan kuratorial mengikut Jean Paul-Martinon (ahli falsafah Kuratorial) merupakan sebuah ‘gangguan’ iaitu menganggu gugat normaliti seseorang (pelukis, penonton) supaya menghasilkan satu ilmu pengetahuan baharu.
“Apabila kita bercakap mengenai kuratorial, dia sebuah kejutan, perkara yang biasa menjadi perkara yang luar biasa disebabkan oleh sudut pandang Kuratorial itu, (dan) sebenarnya tugas utama seorang Kurator,” kata beliau lagi.
Jelas Badrolhisham lagi, ada juga diantara pelukis turut bertindak sebagai Kurator di sesebuah pameran dimana menurut pandangan beliau, kurator juga harus mempunyai pendidikan formal sama seperti bidang professional lain.
Beliau berkata demikian selepas ditemui TVS pada akhir sesi program Dialog Seni Melintasi Sempadan: Konservasi Kuratorial dan Aprisiasi Seni yang diadakan di Galeri Hoan, di Kota Samarahan pada Khamis.
Dalam program sama, Badrolhisham turut memperkenalkan tiga buah buku yang telah dihasilkan beliau iaitu Kritikan Kuratorial, Kritisisme daripada Margin dan New Malaysian Paintings terbitan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Hadir sama Kurator Pameran, Dr Nana Zheng, pemilik Galeri Hoan, Hoan Kee Huang dan Pensyarah Kanan Program Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga artis arca, Mohd. Razif Rathi-TVS