KUALA LUMPUR, 16 Okt: Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang menubuhkan sebuah jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon SPM Sesi 2024/2025 sebagai satu bentuk intervensi bagi menangani ketidakhadiran calon peperiksaan itu.
Timbalan Menterinya Wong Kah Woh berkata jawatankuasa itu ditubuh berikutan 10,160 calon SPM tahun lalu tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan walaupun mencatatkan penurunan daripada 14,858 pada dua tahun lepas.
Beliau berkata antara kaedah lain ialah KPM mendayagunakan pentaksiran psikometrik bagi mengumpul maklumat gambaran triat psikologi daripada aspek minda atau jiwa untuk membantu murid mengenali personaliti kendiri dan membuat keputusan berdasarkan kebolehan sendiri.
“Berdasarkan kepada analisis daripada KPM, antara punca ketidakhadiran adalah kerana bekerja, berhenti sekolah, masalah keluarga, pindah sekolah, sakit dan juga faktor-faktor yang lain.
“Sehubungan itu, KPM akan melaksanakan aktiviti berfokus seperti Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS),” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Baling Hassan Saad mengenai usaha KPM dalam memastikan pelajar yang tidak hadir SPM dikenal pasti puncanya dan usaha bagi memastikan golongan ini tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.
Selain itu, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) melalui Unit Pantau MADANI dan Yayasan Hasanah dalam pelaksanaan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia juga melibatkan Program Pecutan SPM 2024 di seluruh negara.
Bukan itu sahaja menurutnya, kementeriannya juga akan melestarikan Sistem Pengesanan Lepasan SPM melalui Sistem e-Profil Kerjaya Murid yang digunakan untuk mengumpul data hala tuju murid selepas SPM bagi membantu pihak sekolah merancang program yang sesuai dalam meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan belajar, mengembangkan potensi, kecenderungan, sikap, minat dan hala tuju kerjaya.
“KPM sentiasa cakna mengenal pasti punca-punca ketidakhadiran calon peperiksaan dengan lebih terperinci agar intervensi yang berfokus dapat diambil.
“KPM yakin dengan usaha berterusan dan komitmen semua pihak dapat memastikan golongan ini tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan,” katanya lagi.
Untuk rekod, daripada 10,160 orang calon yang tidak hadir pada tahun 2023, calon dari sekolah kerajaan adalah seramai 8,676, diikuti dengan calon persendirian 1,263 dan diikuti dengan calon swasta, calon sekolah menengah agama negeri, sekolah menengah agama rakyat dan sekolah di bawah agensi kerajaan. – TVS