KUALA LUMPUR, 17 Okt: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat jenayah yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi memandangkan siasatan dan operasi yang dijalankan oleh PDRM masih berjalan bagi menjejak saki baki pengikut kelompok itu.
“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara. Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membangkitkan pertanyaan berkenaan kepada Menteri Dalam Negeri mengenai cadangan penubuhan RCI dan adakah pegawai kerajaan mahupun pemimpin politik terlibat serta bersubahat dengan GISBH.
Saifuddin Nasution turut menekankan bahawa tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH berdasarkan siasatan PDRM.
“Walau bagaimanapun, KDN tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan PDRM masih diteruskan dari pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa,” kata jawapan lisan itu lagi. – TVS