KUALA LUMPUR, 17 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengenal pasti peruntukan-peruntukan sedia ada di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 yang tidak relevan dan memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal dan bersesuaian dalam menangani isu gelandangan dan pengemisan.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya kini juga sedang membuat tindakan persediaan untuk gerak kerja ke arah penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan gelandangan dan pengemisan bagi memastikan isu gelandangan ini dapat ditangani dengan lebih teratur.
“Buat masa ini, KPWKM sedang meneliti hasil dapatan kajian yang akan diguna pakai sebagai asas kepada penstrukturan semula dan perincian mekanisme yang lebih holistik dalam pengendalian isu gelandangan dan pengemisan, agar kebajikan mereka dapat dilindungi dalam semua aspek.
“Secara dasarnya, hasil kajian ini meliputi cadangan-cadangan kepada kerajaan mengenai kandungan, pendekatan serta skop RUU ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan dan pengemisan secara menyeluruh, meliputi peranan agensi-agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan berbangkit daripada Ahli Parlimen Batu Kawan Chow Kon Yeow yang meminta menyatakan status terkini akta berkenaan serta jumlah tangkapan orang papa.
Dalam pada itu, Noraini turut mendedahkan seramai 1,256 orang papa telah diambil sehingga Jun tahun ini dengan jumlah keseluruhan pengambilan iaitu 8,252 orang papada dalam tempoh lima tahun ini.
Menurutnya, data itu juga menunjukkan bahawa orang papa yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdiri daripada individu yang tiada pekerjaan, pendapatan rendah, masalah kemiskinan, tiada tempat tinggal, dibuang keluarga, celaru mental dan masalah kesihatan lain, penagih dadah, bekas banduan dan lain-lain.
“Berdasarkan rekod JKM, terdapat pelbagai kategori orang papa yang telah diambil dan jika orang papa tersebut merupakan warganegara asing termasuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pemegang kad United Nations High Commission for Refugees (UNHCR), pesakit mental, pesakit berjangkit/kronik, penagih dadah, ketagihan alkohol, bahan inhalan dan penagih dadah serta mengutip derma tanpa kelulusan.
“Orang papa ini akan dirujuk ke setiap agensi yang menguatkuasakan akta yang berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, JKM bertindak ke atas mana-mana individu bergelandangan yang menepati tafsiran “orang papa” mengikut bidang kuasa yang telah termaktub di bawah Akta 183 bagi menjaga kebajikan dan memulihkan orang papa tersebut. – TVS