KUCHING, 17 Okt: Kerajaan Sarawak memerlukan jumlah peruntukan yang besar di bawah Belanjawan 2025 untuk pembangunan prasarana utiliti di luar bandar terutamanya bekalan air, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Julaihi berharap keperluan Sarawak itu bakal dipertimbangakan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan wilayah ini membina prasarana utiliti yang lebih baik untuk rakyatnya.
“Jadi saya berharap kerajaan pusat akan dapat mempertimbangkan lebih banyak peruntukkan untuk membolehkan Sarawak mendapat bajet lebih banyak lagi untuk kita membina infrastuktur yang berkaitan dengan bekalan air bersih di kawasan luar bandar.
“Sebab setakat ini kita banyak menggunakan peruntukkan daripada kerajaan Sarawak sendiri dan kita telah mencapai liputan sebanyak 50 peratus untuk kawasan luar bandar dan kawasan bandar adalah lebih daripada 90 peratus ini menjadikan perseimbangan itu amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi sidang media Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference 2024 (BIWWEC) di Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di Kuching pada Khamis.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kuasa autoriti untuk melaksanakan projek air diberikan kepada kerajaan Sarawak.
Katanya, ia bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek yang telah diluluskan fi peringkat kerajaan pusat.
“Kalau peruntukan yang telah dilulus itu diberi kepada kerajaan negeri jadi kita boleh melaksanakan berdasarkan peraturan peraturan kewangan kita yang ada sebab kita juga telah melaksanakan projek jauh lebih besar daripada 50 juta itu.
“Kalau projek air maknanya sekiranya kerjaaan Sarawak mampu melaksanakan projek maka berilah kuasa kepada Sarawak untuk melaksana dan mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut,” ujarnya. -TVS