MIRI, 17 Okt: Rakyat berbilang kaum di seluruh negara sudah pasti tidak sabar menantikan khabar gembira daripada pembentangan Belanjawan 2025 petang esok oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Masyarakat di Miri turut tidak ketinggalan menantikan berita positif terutama melibatkan kawasan pedalaman.
Telung La’ing yang berasal dari Baram berharap kerajaan terus memberikan perhatian kepada rakyat di kawasan pedalaman.
“Saya berharap kerajaan dapat melihat keadaan di Baram. Saya sudah hati melihat keadaan jalan.
“Kalau boleh jenguk kawasan kami untuk mengetahui secara lebih terperinci mengenai keperluan penduduk,” katanya kepada TVS hari ini.
Bagi penduduk Miri, Dayangku Mastura Awang Hassan, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diteruskan dalam Belanjawan 2025.
Menurutnya, berdasarkan bantuan yang diterima sebelum ini, ia amat membantu meringankan beban terutama bagi mereka yang bekerja sendiri.
“Dapat meringankan kos, macam dari segi membeli barang keperluan, makanan. Ia juga dapat meringankan sedikit beban kewangan dapat menampung yuran sekolah anak-anak,” ujarnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat.
Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”. – TVS