Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Edgard D. Kagan mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini

AS kukuhkan kerjasama dengan Sarawak, kagumi kepimpinan Abang Johari

ByMarzella Sigai

KUCHING, 17 Okt: Hasrat Sarawak meneraju pembangunan hidrogen sebagai tenaga bersih menarik minat Amerika Syarikat untuk terus memperkukuh kerjasama dengan wilayah ini.

Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Edgard D. Kagan mengakui negara maju itu dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi pandangan tentang ekonomi global selain pihaknya mempertimbangkan Sarawak sebagai pangkalan pelaburannya di Malaysia dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

“Kami mengadakan perbincangan yang santai dan amat berguna, kami berbual mengenai bagaimana kami boleh mengembangkan perkongsian antara Amerika Syarikat dan Sarawak.

“Sudah tentu, kami sedang mencari cara untuk terus melihat pelaburan AS untuk masuk ke Malaysia, selain berbincang kerjasama lanjut dalam bidang minyak dan gas di luar pesisir Sarawak, serta aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Menara Pelita, Petra Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Edgard turut menyatakan kekagumannya terhadap kepakaran Abang Johari menggerakkan pembangunan tenaga bersih dengan memanfaatkan kemahiran dan keupayaan Sarawak untuk menjadi peneraju dalam bidang tersebut.

“Saya sentiasa kagum dengan kepakaran dan komitmen beliau untuk mencari jalan mengembangkan pengeluaran tenaga bersih.

“Beliau mengetahui banyak mengenai bidang tersebut, terutamanya tentang hidrogen. Jadi saya telah belajar banyak perkara daripada beliau,” ujarnya lagi.

Selain daripada itu, Edgard turut memaklumkan lawatan dua harinya ke Sarawak juga bertujuan untuk meraikan Ulang Tahun ke-20 American Corner di Pustaka Negeri Sarawak pada 18 Oktober 2024.

Jelasnya, kejayaan penubuhan tersebut menggambarkan hubungan baik yang telah lama terjalin antara rakyat Sarawak dan Amerika Syarikat dalam program perkongsian maklumat yang dikendalikan Kedutaan AS di seluruh dunia.

“Ini adalah salah satu American Corner kami yang paling berjaya, dan ia sebahagian besarnya kerana komitmen daripada Pustaka Negeri Sarawak. Oleh itu kami amat berterima kasih dengan Kerajaan Sarawak,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan