KOTA KINABALU, 17 Okt: Kanak-kanak perempuan yang lemas di sungai Kampung Lokub, Manggatal, di sini, hilang dalam sekelip mata selepas terjatuh ke dalam sungai.
Madusih Nuhuri, 60, yang menyaksikan kejadian itu berkata, ia berlaku ketika cuaca hujan lebat sehinggakan dia terpaksa menimba air bagi mengelak bot miliknya karam.
Katanya, dia melihat mangsa berada di tepi sungai seorang diri sebelum terkejut apabila menyedari kanak-kanak terbabit sudah berada di dalam sungai.
“Kejadian tidak pasti jam berapa, tetapi dalam keadaan hujan lebat. Ketika itu saya berada di atas bot sedang menimba air untuk mengelakkan bot karam.
“Saya melihat dia berjalan seorang diri sebelum tiba-tiba melompat ke sungai. Tidak sampai 10 minit, saya menyedari dia melambai sebelum tenggelam dan hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Khamis.
Menurutnya, dia tidak mampu membantu kerana keadaan arus sungai Arusterlalu deras sehinggakan seperti puting beliung.
Sementara itu, Ibu mangsa, Anilda Saalok, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di sebuah pasaraya berhampiran.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila seorang lagi anaknya datang dan memberitahu adiknya lemas di sungai berhampiran rumah mereka.
“Saya terkejut dan terus datang ke sini untuk mencari Indah namun gagal menemuinya. Saya masih tidak percaya kejadian ini boleh berlaku.
“Dia tidak pernah pergi berhampiran sungai ini lebih-lebih lagi seorang diri. Mungkin ada budak-budak lain yang membawanya ke sini,” katanya.
Anilda berkata, budak-budak kampung sememangnya suka berenang di tempat berkenaan namun ia adalah kali pertama buat anaknya.
“Saya masih tidak percaya dengan apa yang berlaku hari ini,” katanya. -TVS