Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi. Foto TVS

AI, data raya penting dalam memacu perkembangan ekonomi

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 17 Okt: Kecerdasan buatan (AI) dan data raya mempunyai hubungan simbiotik yang semakin penting dalam memacu perkembangan ekonomi serta kemampanan teknologi masa kini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kedua-duanya saling bergantung dalam menggerakkan inovasi dan pembangunan khususnya dalam ekonomi digital di Sarawak.

“AI bergantung kepada Big Data (data raya) untuk melatih algoritma dan menghasilkan pandangan lebih bermakna. Ini membantu dalam membuat ramalan lebih tepat tanpa terjerumus dalam kecenderungan manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian IDECS 2024 bertemakan ‘Kecerdasan Buatan untuk Pembangunan Lestari: Mengemudi Masa Depan Mampan dan Hijau’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.

Menurutnya, Big Data kini dilihat sebagai sumber utama dalam transformasi digital yang berlaku di seluruh dunia.

“Data merupakan sumber yang tidak ternilai, bahkan dianggap sebagai mata wang baharu yang boleh diperbaharui. Data inilah yang menjadi asas kepada teknologi digital yang sedang berkembang pesat seperti AI, Blockchain serta perkhidmatan Internet,” ujarnya.

Julaihi berkata, dalam konteks pembangunan ekonomi digital Sarawak, AI dan Big Data memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk pengangkutan, tenaga, dan pembuatan.

“Sebagai contoh, AI digunakan dalam mengurus grid tenaga pintar, memantau dan mengawal aliran elektrik secara masa nyata. Selain itu, AI turut membantu sektor pertanian pintar dan pembuatan yang memanfaatkan analitik data untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk.

“Big Data bukan sahaja membantu dalam membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data yang besar, tetapi juga memperkukuhkan kecekapan operasi perniagaan serta membantu meramal pola pengguna dengan lebih baik,” katan Julaihi.

Beliau berkata, dalam era Revolusi Industri 4.0, data raya dan AI berperanan dalam penyelenggaraan ramalan yang mengurangkan kerugian akibat kerosakan peralatan selain membantu dalam pemantauan kesihatan aset kritikal secara masa nyata.

“Dengan menggabungkan Big Data dan AI, Sarawak dapat meraih manfaat besar daripada ekonomi digital serta bergerak ke arah pembangunan lebih mampan,” jelasnya.. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan