KUALA LUMPUR, 17 Okt: Daripada jumlah kes kanak-kanak hilang direkodkan sejak empat tahun lepas iaitu 3,847 kes hilang, sebanyak 96 peratus kanak-kanak terutamanya umur 18 ke bawah berjaya dijumpai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jika diambil purata bagi setiap 100 hilang, 96 kanak-kanak berjaya diselamatkan ataupun telah meninggal dunia manakala baki lain diklasifikasikan sebagai masih hilang.
Beliau turut berkata kanak-kanak perempuan mencatatkan kes hilang tertinggi iaitu 74 peratus berbanding kanak-kanak lelaki hilang iaitu 26 peratus manakala kategori umur 13-15 tahun paling tertinggi berbanding umur 16 hingga 18 tahun (37 peratus).
“Punca yang pertama ialah umur remaja ini dia hendak cari kebebasan. Yang kedua, dia ikut kawan. Yang ketiga dia ikut kekasih dan yang keempat adalah salah faham dengan keluarga.
“Mengetahui punca-punca ini memberi peluang kepada pihak PDRM D11, Jabatan Siasatan Jenayah untuk mitigate apakah usaha boleh kita buat. Usaha ini terbahagi kepada 3, sebelum insiden hilang, setelah dilapor dan selepas,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Parit Muhammad Ismi Mat Taib yang mahu beliau menyatakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin meningkat dan merekodkan sehingga dua kes sehari dari tahun 2020 sehingga tahun 2024.
Sehubungan itu, kementeriannya giat melaksanakan beberapa kempen kesedaran yang menumpukan kumpulan umur serta golongan wanita dengan menganjurkan sebanyak 457 program kesedaran membabitkan 141,000 kanak-kanak.
Beliau juga menggesa orang ramai untuk melaporkan insiden kehilangan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera tanpa menunggu tempoh selepas 24 jam.
“Kalau sudah berlaku insiden hilang, kita segera activate. Yang paling penting bila lapor hilang, yang pertama hebahkan seluas mungkin. Kita gunakan Nur Alert, kita masukkan dalam portal kanak-kanak hilang setelah kita minta izin ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan kita luaskan pencarian.
“Bila kita jumpa, barulah kita profil kanak-kanak ini dan keluarganya. Selepas insiden kita temui, biasanya kita berikan sokongan terutama dari segi moral dan psikologi kepada keluarga yang terlibat,” katanya lagi.
Untuk rekod, tahun 2020, kes anak-anak hilang adalah 792 kes, 594 kes (2021), 902 kes (2022), 779 kes (2023) dan tahun 2024 setakat September ialah 780 kes dengan jumlah keseluruhan dicatatkan berjumlah 3,847 kes. – TVS