KUALA LUMPUR, 17 Okt: Sehingga hujung bulan lalu, seramai 766 kekosongan guru berjaya diisi dengan jumlah waran perjawatan bagi sekolah-sekolah di daerah Lawas.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, namun sejumlah 74 belum lagi diisi bagi memenuhi jumlah waran perjawatan itu sebanyak 840 jawatan dan sehingga itu kadar pengisian guru di daerah itu adalah 91.2 peratus.
Namun bagi memastikan pengimbangan penempatan guru di seluruh negara, KPM akan melaksanakan penempatan guru mengikut unjuran, keperluan opsyen dan waran perjawatan guru yang telah diluluskan oleh Agensi Pusat.
“KPM juga mengenalpasti dan memantau kedudukan guru dari masa ke semasa. Unjuran keperluan guru baharu dilaksanakan pada setiap tahun berdasarkan kekosongan perjawatan dan opsyen di sekolah KPM.
“Selain itu, KPM juga sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk melaksanakan penyelarasan pengambilan guru mengikut keperluan opsyen di sekolah,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong bertanyakan kepada Menteri Pendidikan mengenai berapa kekosongan jawatan guru yang belum diisi di Lawas.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata kementeriannya komited dalam melaksanakan penempatan guru yang seimbang mengikut keperluan opsyen dan perjawatan guru bagi memastikan sekolah mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi agar proses pengajaran dan pembelajaran murid dapat dilaksanakan dengan optimum agar selaras dengan dasar pendidikan MADANI.
Bukan itu sahaja, KPM juga akan memberi perhatian penuh terhadap penempatan guru di sekolah rendah dan menengah seluruh negara bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Penyediaan unjuran keperluan guru merupakan aspek penting dalam perancangan sumber manusia untuk menyediakan guru yang mencukupi dan sesuai dengan keperluan opsyen,” menurut jawapan lisan itu lagi. – TVS