KUALA LUMPUR, 17 Okt: Bank Simpanan Nasional (BSN) merekodkan pembiayaan berjumlah RM115.7 juta yang disalurkan kepada 5,921 usahawan mikro di Sarawak, setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata sebanyak RM25.59 juta disalurkan kepada 721 usahawan mikro Sarawak di bawah Skim Mikro Madani Borneo, pada tahun ini.
Menurutnya, penyaluran itu dilaksanakan menerusi program Jerayawara Inisiatif Pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan 2024 lalu.
“Hampir 70 peratus usahawan mikro Sarawak di bawah Skim Mikro Madani Borneo adalah daripada sektor peruncitan melibatkan makanan dan minuman, pakaian dan aksesori.
“Sehubungan itu jerayawara berkenaan penting kepada BSN untuk menyampaikan maklumat terkini dan komprehensif kepada usahawan mikro supaya mereka tahu program dan bantuan kewangan yang dilaksanakan serta disediakan oleh kerajaan,” katanya kepada TVS di Wisma BSN, hari ini.
Menerusi Belanjawan 2024 lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Skim Mikro/i MADANI Umum merupakan pembiayaan oleh BSN untuk modal kerja (working capital), pembelian aset untuk tujuan perniagaan dan pengubahsuaian premis perniagaan (renovation).
Ia melibatkan kemudahan pembiayaan bermula RM5,000 hingga RM50,000 untuk tempoh setahun hingga lima tahun.
Jerayawara Inisiatif Pembiayaan PMKS turut dilaksanakan dengan agensi kerajaan dan institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Agrobank dan beberapa agensi lain.
Program tersebut dilaksanakan di empat bandar utama Sarawak bagi mewujudkan jaringan strategik dan sokongan kepada PMKS untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan.
Sementara itu, BSN turut memperkenal sembilan Skim Pembiayaan Mikro Madani bagi membantu memperkasa sektor-sektor perniagaan di Sarawak.
Antaranya ialah Skim Mikro Nita, Skim Mikro Umum, Skim Mikro Perintis dan Skim Mikro Belia, selain Skim Mikro Madani Borneo.
“Hanya BSN sahaja yang menawarkan produk dan skim pembiayaan khusus ini di bawah bajet yang diumumkan,” katanya.
Jelas beliau, komitmen dan sokongan berterusan BSN terhadap perusahaan mikro di Sarawak tidak hanya dengan menyediakan pembiayaan kewangan, malah menawarkan khidmat nasihat berkaitan.
“Ini melibatkan kursus pendigitalan, pengurusan aliran tunai dan pelan rancangan perniagaan kerana kebanyakan usahawan adalah dalam sektor tidak formal. Kita ingin mempersiap mereka agar bersedia untuk ke sektor formal seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana,” katanya lagi.
Jay Khairil menambah langkah itu adalah untuk memastikan usahawan mikro kekal bersemangat untuk mengurus perniagaan mereka selaras dengan pelan hala tuju masing-masing. -TVS