PADAWAN, 17 Okt: Lebih 400,000 pelajar di seluruh Sarawak mendapat manfaat daripada inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM61.8 juta pada tahun ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad berkata, inisiatif tersebut merupakan bukti keprihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi meminimakan jurang pendidikan.
Jelas beliau inisiatif yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 itu juga bertujuan untuk mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan pelajar berkeperluan khas, pelajar di pedalaman dan pelajar miskin serta kumpulan minoriti di wilayah ini.
Menerusi dana yang disalurkan itu, Azhar berkata beliau yakin ia dapat meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga selain menjadi motivasi kepada pelajar serta murid untuk terus menimba ilmu demi masa hadapan yang lebih cemerlang.
“Untuk 2024, peruntukan disalurkan kepada 1,265 buah sekolah rendah dan 193 sekolah menengah dan jumlah murid serta pelajar yang menerima BAP seramai 412,120 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru dan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang, Padawan di sini hari ini.
Sementara itu salah seorang pelajar, Ryan Giggs Rajau, 12, menzahirkan keterujaannya apabila dimaklumkan terpilih untuk menikmati inisiatif BAP ini.
Ryan Giggs berkata, dia bersemangat untuk terus belajar untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang peguam.
“Saya gunakan duit BAP untuk membeli peralatan sekolah seperti pensel, pakaian seragam dan alat tulis.
“Saya ingin menjadi seorang peguam yang handal, berdisiplin serta ingin menangani banyak kes dengan membela orang yang tidak bersalah,” katanya.
Bagi Nur Zara Batrisya,12, pula, pemberian BAP itu digunakan untuk membeli barang keperluan persekolahan yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban ibu bapanya.
Dia yang turut bercita – cita menjadi peguam kerana ingin mengubah kehidupan diri serta keluarga.
“Cita-cita saya ingin menjadi seorang peguam yang baik, ramah dan bertanggungjawab serta ingin berkhidmat untuk negara tercinta.
“Saya gunakan wang bantuan untuk beli alatan sekolah, pakaian seragam dan alat tulis kerana mahu meringankan beban ibu bapa,” katanya.
BAP merupakan bantuan tunai one-off yang bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM788,130,000 kepada KPM untuk tujuan pengagihan BAP kepada semua murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.
Pemberian BAP bagi sesi persekolahan 2024/2025 diteruskan dengan kadar sebanyak RM150 bagi setiap murid warganegara tanpa mengira had pendapatan ibu bapa atau penjaga.
Dalam perkembangan lain, Azhar menyifatkan peruntukan berjumlah RM58.7 bilion kepada sektor pendidikan negara dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Oktober tahun lalu amat membantu dalam memperkasakan segmen pendidikan khususnya di Sarawak.
“Peruntukan yang disalurkan itu menunjukkan komitmen serta keprihatinan kerajaan dalam memastikan keperluan, kebajikan serta masa depan pelajar dalam sektor pendidikan adalah terjamin,” ujarnya.
Tambah Azhar, salah satu testimoni kejayaan peruntukan tersebut adalah dengan pelaksanaan projek penambahbaikan dan naik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Matang, Padawan yang berjaya menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif merupakan satu elemen penting dalam usaha membentuk dan menaik taraf pendidikan di wilayah ini.
Jelas beliau, peruntukan-peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan digunakan kepada tiga perkara utama.
“Pertamanya untuk pengoperasian pendidikan termasuklah pembekalan guru dan perkara lain.
“Kita mempunyai 41,000 guru yang sedang mengajar di 1,460 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Sarawak,” katanya.
Sebahagian peruntukan katanya digunakan untuk projek pembangunan sekolah temasuklah sekolah daif dan juga bagi pembinaan sekolah baharu di seluruh Sarawak.
“Seterusnya, peruntukan ini juga digunakan untuk pelbagai program termasuklah aktiviti pelajar, penggunaan pelaksanaan dasar baharu kementerian termasuklah pendidikan digital dan tidak lupa penyaluran bagi pelbagai bantuan kepada murid-murid yang ada di Sarawak ini,” ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan tanggungjawab tanpa jemu untuk memastikan pelajar dapat menikmati kemudahan untuk menimba ilmu dalam keadaan yang selesa.-TVS.