KUALA LUMPUR, 16 Okt: Tumpuan khusus diberikan kerajaan terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menerusi Belanjawan 2024 mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan memanfaatkan rakyat.
Perincian yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menunjukkan komitmen Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim yang menjadi kebimbangan global.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Goh Lim Thye berkata berdasarkan kajian beliau, Malaysia diunjurkan mampu meningkatkan KDNK dengan menggandakan inisiatif dalam sektor tenaga baharu.
“Ia membabitkan inisiatif kerajaan menggandakan projek untuk sektor tenaga itu.
“Sekiranya kajian saya tepat dan angka tepat, ini bermakna ada peluang yang besar bagi penjanaan ekonomi dalam sektor ini,” katanya kepada TVS hari ini.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat berkata kerajaan memperuntukkan RM2 bilion ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
Peruntukan itu jelas beliau menerusi Dana Mudah Cara NETR membabitkan pembiayaan oleh institusi kewangan yang mendorong industri beralih ke ekonomi rendah karbon selain meneroka model dan kaedah pelaksanaan akses pihak Ketiga (TPA) bersesuaian yang selaras dengan usaha pembaharuan tarif.
Sementara itu Lim Thye turut mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan meneroka dan memanfaatkan potensi sektor-sektor tertentu dalam industri tenaga boleh baharu terutama tenaga solar.
Jelas beliau ketika ini penjanaan elektrik berasaskan tenaga solar di Malaysia hanya 0.5 peratus walaupun negara merupakan pengilang global ketiga terbesar dunia bagi fotovoltaik.
“Oleh itu, dalam Belanjawan 2025, kerajaan perlu melihat apakah masalah yang menghalang untuk memanfaatkan kelebihan yang ada sebagai pengilang ketiga terbesar,” katanya.
Langkah itu juga katanya membolehkan kerajaan untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 yang selaras dengan NETR. -TVS