KUCHING, 16 Okt: Sarawak Microelectronics Design (SMD) telah memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat teknologi antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil, menjelaskan bahawa MoU ini bertujuan membina kerangka kerjasama antarabangsa untuk pembangunan teknologi semikonduktor, dengan tumpuan utama kepada kecerdasan buatan (AI) dan teknologi cip AI baharu.
Kerjasama ini memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi negeri dan turut melibatkan usaha melalui pendidikan STEM serta peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan.
“Ini merupakan langkah pertama Sarawak untuk bekerjasama dengan pemain antarabangsa dalam pembangunan teknologi baharu. Kami juga sedang meninjau potensi untuk membangunkan fasiliti ‘advanced packaging’ bagi teknologi ini pada masa hadapan,” ujar Shariman ketika ditemu bual oleh TVS selepas majlis pemeteraian MOU yang diadakan pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Antara rakan kerjasama yang terlibat ialah Silicon Catalyst, Siemens, Cambridge Microelectronics Ltd, Hives AI, dan Weeteq.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Shariman menekankan kepentingan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) sebagai elemen penting dalam membina ekosistem semikonduktor yang mampan.
“Kami sentiasa menggalakkan pelajar universiti untuk terlibat dalam bidang STEM kerana subjek ini amat penting di sekolah dan universiti.
“Kursus seperti kejuruteraan elektronik, sains komputer, fizik, dan matematik adalah asas pengetahuan untuk menceburi industri ini,” katanya lagi.
Selain pendidikan, Shariman turut menyatakan bahawa SMD menjalankan program peningkatan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja tempatan lebih bersedia dan berdaya saing dalam ekosistem ini.
“Kami kini menjalankan program upskilling selama enam bulan untuk pelajar universiti dan pekerja.
“Kumpulan pertama telah tamat latihan dan kini bekerja sebagai pereka IC di Sarawak, sementara kumpulan kedua sedang berlangsung dan dijangka tamat pada Januari dan Mac tahun depan,” jelas beliau.
Kerjasama strategik ini juga melibatkan rakan utama antarabangsa seperti Silicon Catalyst dari UK dan CSA Catapult dari Eropah, yang berperanan penting dalam pembangunan teknologi cip AI baharu.
“Sarawak mempunyai banyak peluang melalui sumber mineral dan biodiversiti tempatan yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan teknologi baharu ini.
“Kerjasama ini membuka ruang bagi negeri untuk menjadi hab inovasi semikonduktor di rantau ini,” tambahnya lagi. – TVS